Opinion

Meneruskan kehidupan selepas banjir

Selama lebih seminggu dunia politik tiba-tiba menjadi tenang disebabkan kejadian banjir besar yang menimpa bukan saja di Pantai Timur, bahkan di Pantai Barat Malaysia juga.

Selama seminggu itu atau mungkin akan lebih lagi, pemimpin politik tidak bersuara mengenai sengketa mereka, kerana mereka sibuk melawat dan mengendalikan bantuan banjir.

Sebelum ini dunia politik tanah air sentiasa bergelora dengan pelbagai isu dalaman dan luaran, tetapi ada kalanya krisis dalaman parti sendiri jauh lebih hangat hingga memercik keluar daripada parti sendiri.

Ini berlaku bukan saja di kalangan lingkungan Umno/Barisan Nasional (BN), bahkan juga di kalangan Pakatan Rakyat (PR) dan komponennya.

Kini dengan rempuhan banjir di enam negeri, khususnya yang terburuk di Pantai Timur, suasana politik menjadi tenang sekali, berbeza jauh dengan keadaan di luar dunia politik, iaitu ribut taufan, hujan lebat dan air pasang besar yang menakutkan. Apa yang berlaku ini adalah fenomena alam.

Untuk itu saya terkesan dengan titah Sultan Kelantan dalam teks yang diedarkan kepada media, di mana baginda menyeru seluruh rakyat menjadikan alam sekitar sebagai sahabat baik kerana musibah banjir yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait dengan perbuatan manusia sendiri.

Titah baginda, rakyat perlu bermuhasabah dengan apa yang mereka lakukan selama ini dan perlu memperbaiki kesilapan yang dilakukan itu.

"Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan dengan alam sekitar dan marilah kita sedar segala macam musibah bencana dan malapetaka yang terjadi semua itu akibat daripada olahan tangan-tangan kita."

Titah baginda, ujian yang dialami ketika ini bukan masanya untuk saling menyalahkan sesama sendiri.

Dalam hubungan ini saya teringat sebuah buku tulisan ulama tersohor, Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi, ‘Jangan Bermusuh Dengan Alam’, di mana beliau mengingatkan manusia alam akan menjadi marah dan menimpakan musibah kepada manusia apabila manusia bersikap bermusuhan dengan alam.

Umpamanya, mereka memusnahkan hutan, mencemarkan sungai, merosakkan tumbuh-tumbuhan dan pelbagai lagi. Yusuf mengingatkan, supaya manusia jangan bermusuhan dengan alam.

Namun fenomena banjir yang berlaku di Pantai Timur, menurut pendapat ahli kaji cuaca, terutamanya ialah kerana tiupan angin monson yang amat kuat menyebabkan air pasang besar dan hujan lebat berterusan.

Tetapi di tempat lain, di kawasan tertentu, memang tidak menjadi rahsia lagi manusia menarah bukit, menebang balak semau-maunya, hingga musnah hutan tadahan. Ini berlaku seperti di Cameron Highland, Gua Musang dan banyak tempat lagi. Demikian juga yang berlaku di Sabah dan Sarawak.

Di Semenanjung, begitu banyak sekali sungai tercemar, ikan mati, air menjadi kotor dan tidak dapat digunakan.

Inilah perbuatan manusia yang ternyata memusuhi alam. Maka itu apabila alam bertindak membalasnya, terjadilah tanah runtuh, banjir dan jalan raya merekah. Inilah yang berlaku. Oleh itu apa yang berlaku ada hubungan kait antara satu sama lain – kuasa politik, rasuah dan ketamakan.

Sementara itu, ketika suasana politik menjadi tenang disebabkan rempuhan banjir, saya merenung pelbagai foto yang disiarkan di pelbagai media, mahupun rakaman video memaparkan kemusnahan akibat banjir, terutamanya di Gua Musang, Kuala Krai, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kemaman, Dungun dan kawasan lain di Terengganu yang lain. Demikian juga di Pahang dan Perak.

Jalan raya yang musnah, rumah ranap, harta benda rosak teruk sangat menyedihkan. Tentu sekali jumlah kerosakan ini sangat besar sekali. Oleh itu, tentu bertahun-tahun pula untuk memulihkan kehidupan menjadi normal.

Daripada pelbagai laporan, bantuan seluruh negara datang mencurah-curah. Ini tanda rakyat sangat bersimpati terhadap mereka yang menjadi mangsa banjir itu. Mereka melupakan jurang perbezaan politik dalam menghadapi malapetaka ini.

Pemimpin PR seperti Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Lim Kit Siang dan lain-lain datang sendiri ke Kelantan menghulurkan bantuan wang dan barang keperluan.

Tidak ada logo parti yang ditampal pada barang yang mereka dermakan, menunjukan bantuan mereka bukan untuk mendapat keuntungan politk, tetapi benar-benar untuk membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Bagi PAS sendiri, boleh dikatakan seluruh pimpinan tertinggi parti daripada presiden membawa kepada AJK PAS Pusat, pimpinan negeri dan kawasan ‘turun padang’ membantu mengharungi banjir, menyampaikan bantuan. Unit Amalnya serta ribuan petugas PAS yang lain dari seluruh negara ‘berkampung’ menolong mangsa banjir.

Ini khidmat yang sangat hebat, walaupun tidak disiarkan saluran TV dan akhbar tradisional, justeru semua rakyat faham hal ini. Namun rakyat tahu, sumbangan pendukung PR ini.

Seluruh rakyat bersatu menolong mangsa banjir dengan melupakan politik kepartian dan tidak ada laungan perkauman yang kedengaran. Alangkah baiknya, suasana harmoni seperti ini dikekalkan jauh selepas musim banjir nanti.

Saya memikirkan, selepas banjir surut nanti, tentunya semua jalan sudah dibaiki dan dibuka kembali, namun semua pihak belum selesai tugas membantu, kerana kerosakan yang ditimpa banjir ini sangat besar sekali. Bayangkan betapa sukarnya hendak membina kembali kehidupan selepas malapetaka ini, lebih-lebih lagi anak-anak akan naik sekolah beberapa hari lagi, barang-barang semua ditenggelami air.

Kita tidak lupa dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan dalam masa banjir ini – pihak tentera, polis, bomba dan pelbagai lagi. Mereka bertungkus-lumus siang dan malam membantu mangsa banjir walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

Kesimpulannya, kemanusiaan mengatasi segalanya, sementara dunia politik akan riuh kembali selepas ini, tetapi hendaknya dalam batas kesopanan dan tertib. – 30 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments