Opinion

Membina kekuatan baru pembangkang

Dengan terbentuknya gabungan baharu pembangkang, yang diberi nama Pakatan Harapan, bermakna ia percubaan penting untuk menyatukan kembali parti pembangkang tanah air untuk menghadapi Umno/BN dalam PRU akan datang dan seterusnya.

Gabungan baharu ini, yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan sebagai menggantikan Pakatan Rakyat, gabungan yang berjaya mendapat 52% undi popular dalam PRU lalu. Tetapi atas sebab tertentu yang diketahui umum - walaupun prestasinya cemerlang - mengakhiri hayatnya.

Tentunya apa yang terjadi kepada pakatan lama itu menjadi pengajaran penting kepada Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan ini untuk kelangsungannya sebagai pembangkang pada masa depan.

Rakyat yang menyokong gabungan baharu pembangkang ini sangat mengharapkan supaya tokoh pemimpinnya seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan pemimpin lain dalam Pakatan Harapan dapat membina kembali kekuatan pembangkang seutuhnya. Rakyat sangat berharap gabungan baru ini tidak lagi akan terbentur disebabkan krisis demi krisis seperti yang dihadapi pakatan lama itu.

Keutamaan yang sangat perlu diberi perhatian Pakatan Harapan ialah:

*Memelihara dan mengekalkan sokongan rakyat terhadapnya. Sokongan ini kini sudah diperlihatkan pelbagai pihak dalam pelbagai bentuk. Malah sokongan itu sangat luar biasa.

*Sokongan rakyat ini ialah nilai paling berharga yang sangat wajar dipelihara ketiga-tiga komponen Pakatan Harapan. Ia tidak sama dengan nilai sesebuah parti politik betapa pun lama umurnya dan ramai jumlah ahlinya.

Oleh itu apa pun perhitungan politik yang lain, tidak sama nilainya dengan sokongan rakyat ini. Dari itu perhatian penting perlu diambil kira terhadap sokongan ini, malah melebihi segalanya.

*Rakyat mahu melihat integriti atau kewibawaan parti yang ada dalam Pakatan Harapan untuk mengukur kejayaan atau kegagalannya. Sesebuah parti politik tidak kira berapa lama usia dan ramai ahlinya, jika ia tidak memiliki integriti, kepimpinan yang tidak relevan dan tidak peduli rakyat, maka dalam pandangan umum ia hanya parti politik yang hanya penuh retorik.

Seperti kata pengarang Inggeris, William Shakespeare:”Like sound and furry, means nothing."

Bunyinya saja gemuruh, tetapi isi dan maknanya kosong. Inilah yang sangat perlu dielakkan jika Pakatan Harapan hendak mengekalkan sokongan rakyat yang ada sekarang kepadanya.

*Dalam suasana yang ada sekarang, di mana perkauman menjadi masalah terbesar menggugat perpaduan rakyat pelbagai kaum, maka Pakatan Harapan perlu ke depan menentang semua bentuk perkauman dan fahaman ekstremisme agama yang sempit. Dalam hal ini, Pakatan Harapan nampaknya sudah pun mengambil langkah segera yang penting, menunjukkan ia menentang perkauman. Iaitu apabila beberapa hari yang lalu pemimpin Pakatan Harapan mengadakan lawatan ke Jalan Petaling, 'kawasan panas' di tengah Ibu Kota. Mereka meninjau suasana di situ, melihat peniaga Cina yang berniaga di situ sejak sekian lama.

Menurut pendapat saya, pendukung PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan perlu mengadakan hubungan lebih erat dengan pelbagai golongan rakyat, merentasi semua kaum dalam pelbagai bidang kehidupan.

Buktikan Pakatan Harapan sangat peduli rakyat dan menentang perkauman dalam apa bentuk pun dan sentiasa berusaha untuk melindungi rakyat pelbagai kaum. Maka itu, saya yakin, rakyat akan menyokong gabungan baharu pembangkang ini.

Sementara itu, Amanah yang baru ditubuhkan ini badan politik yang berpaksikan Islam, membawa konsep 'Islam sebagai rahmat seluruh alam', terbuka dan progresif, melindungi semua rakyat seperti yang dituntut Islam.

Inilah antara kekuatan Amanah yang boleh disumbangkannya kepada Pakatan Harapan untuk menegakkan keadilan dan demokrasi serta hak rakyat. Sesungguhnya perkauman ditentang Islam, sementara ekstremisme agama sangat mengelirukan umat Islam sendiri, malah mencederakan imej Islam.

Parti Amanah sendiri, di samping didukung golongan profesional dan veteran, juga didukung ramai ulama progresif seperti Ahmad Awang, Abd Ghani Shamsudin, Hassanuddin Mohd Yunus, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Mujahid Yusuf Rawa dan ramai lagi.

Mereka ini tentunya mampu berhujah secara ilmu untuk menentang perkauman dan ekstremisme agama dari mana pun datangnya. Sementara itu, dalam keadaan sekarang, terlalu awal untuk pemimpin gabungan baru ini memikirkan pembahagian kerusi, di mana hendak bertanding dan sebagainya, lebih-lebih lagi untuk memikirkan sama ada bertanding 2 penjuru atau 3 penjuru.

Lebih-lebih lagi sifat politik yang sangat dinamik, berubah mengikut masa dan keadaan, maka adalah terlalu awal untuk memikirkan persoalan pembahagian kerusi pilihan raya.

Cuma yang perlu ditekankan di sini, ialah tidak ada parti politik di Malaysia ini yang mampu bertanding bersendirian, melainkan bergabung dengan parti lain, meskipun parti itu merasa begitu gagah. Tetapi jika ia mahu juga bertanding bersendirian, maka ia akan terbentur dengan sebuah 'mimpi ngeri'.

Membaca senario pilihan raya umum yang lalu, gabungan pembangkang memenangi 89 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, iaitu terus menafikan majoriti dua pertiga Parlimen yang dicatatkan dalam PRU sebelumnya. Ini kejayaan Pakatan Rakyat.

Tetapi walaupun memenangi 52% undi popular, Pakatan Rakyat tidak dapat membentuk kerajaan kerana sistem persempadanan kawasan pilihan raya dilaksanakan begitu rupa.

Dalam kenyataan bersama Pakatan Harapan baru-baru ini, para pemimpin gabungan baharu itu berkata, ia akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat.

Maka, rakyat kini sedang menanti dengan penuh harapan terhadap Pakatan Harapan ini untuk membela mereka. Rakyat tidak mahu lagi dihadapkan dengan krisis demi krisis yang sangat mengecewakan mereka.

Buanglah segala ego dan sebarang keangkuhan jika ada. Setiap parti mesti dalam kedudukan yang sama. – 29 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments