Opinion

Kasih Fadzil Noor kepada ahli PAS

Merenung situasi di dalam PAS sekarang ini, yang tentunya setiap orang mempunyai tanggapan sendiri mengenai punca krisis yang berlaku ini, saya - mungkin juga sahabat lain - terkenang kembali beberapa pesan dan nasihat bekas Presiden PAS, allahyarham Fadzil Mohd Noor.

Lebih-lebih lagi mengingat Muktamar Tahunan PAS ke-61 akan berlangsung Jun depan, maka ingatan dan nasihat tokoh besar ini semakin segar, bahkan air mata mengalir mengenangkan pesannya itu, ketika PAS dilanda krisis sama sendiri, seoah-olah tiada damainya.

Bayangkan jika allahyarham masih ada hayatnya dan menyaksikan krisis dalaman yang berlaku ini, betapa remuk hatinya dan tentunya mengambil langkah segera mencari punca masaah dan menyelesaikannya.

Ini kerana allahyarham sangat menitikberatkan perpaduan jemaah dan sangat mengasihi semua ahli PAS. Dengarlah apa katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kali Terakhir di Muktamar Tahunan PAS:

"Kalau dapat saya hendak meneruskan lagi ucapan saya di depan hadirin/hadirat ini kerana saya sangat sayangkan ahli PAS semuanya dan saya enggan berpisah dengan anda semua. Tetapi saya terpaksa menamatkan juga ucapan ini."

Ucapannya itu menyebabkan para muktamirin menitiskan air mata, mereka sangat terasa disayangi pemimpin mereka.

Bagi mereka, kesayangan pemimpin kepada semua ahli adalah nikmat yang sangat membahagiakan. Di sinilah hubungan rapat antara pemimpin dan ahli.

Allahyarham adalah presiden PAS (1989-2002), meninggalkan kita pada 2002, bererti 13 tahun meninggalkan kita, namun pesan dan nasihatnya masih segar dalam ingatan.

Allahyarham mengingatkan pendukung PAS:

"Apabila kita bersama memperjuangkan kebenaran dan keadilan maka itu bermakna kita sudah menang. Ahli PAS juga perlu waspada, jika musuh politik PAS memuji PAS dan memberi ruang kepada PAS, terutama di media mereka, maka tentu ada sesuatu yang tidak kena kepada PAS."

Allahyarham juga mengingatkan ahli PAS supaya menjaga kata-kata, kangan melabel seseorang kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah, tuduhan dan seumpamanya:

"Yang penting, minta ampun dengan Allah walau di mana kita berada. Allah maha mendengar. Kita minta ampun, insya-Allah, Allah akan bagi. Dia bukan zalim atau kedekut. Jangan mencari salah orang lain. Cermin diri sendiri dulu. Diri sendiri pun belum tentu masuk syurga.

"Jangan pertikai latar belakang orang lain. Jangan dok bahas iman orang lain. Jangan dok debat amalan orang lain. Tak pasai-pasai masuk neraka kerana dok sibuk pasai orang lain. Cermin diri kalau nak masuk syurga. Syurga ni bukan hak milik sapa sapa. Jadi, toksah dok nilai iman dan amalan orang lain."

Nasihatnya ini sewajarnya menjadi renungan kepada semua pendukung PAS yang kini mencpai jumlah lebih sejuta orang daripada pelbagai latar belakang, pendidikan, kemahiran dan iklim negeri yang berbeza.

Allahyarham sangat gembira dengan bertambahnya ahli baru pelbagai latar belakang pendidikan, kemahiran dan sebagainya.

Di sini saya memetik kata-katanya dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-45 di Taman Melewar pada Mei 1999 apabila mengumumkan di dalam ucapan dasarnya hasil gelombang perubahan yang berlaku di dalam negara beberapa bulan sebelum itu ahli PAS bertambah.

"Alhamdulillah rancangan kita berjaya. Hari ini bilangan ahli PAS melebihi setengah juta (waktu itu). Saya terharu dengan penyertaan ahli baru yang mencecah lebih 100,000 orang dalam masa beberapa bulan terakhir ini," katanya.

Dengan bangganya allahyarham berkata:"Kita seringkali mendengar rungutan dan kritikan PAS begitu sekali ketandusan sumber tenaga manusia terutama golongan profesional. Bagaimana mungkin untuk PAS mentadbir negara sedangkan mereka tidak mempunyai tenaga profesional? Sekarang kita mempunyai ribuan ahli di kalangan profesional. Apakah kita masih tidak mampu mentadbir negara dan menjadi kerajaan alternatif?" soalnya.

Di sinilah saya memetik kenyataan Jabatan Pendidikan Politik Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hasbie Muda baru-baru ini yang menyeru semua pemimpin PAS supaya berlapang dada memikirkan di manakah silapnya apabila ahli yang sebelum ini pernah menjadi lambang kebanggaan kita kini cuba dihambat (dihalau) keluar parti pula.

Gesaan menghambat ahli keluar parti, katanya, perlulah dihentikan serta-merta kerana gesaan ini sangat memalukan. Ia seolah-olah membuat pengakuan terbuka Lajnah Dakwah dan Lajnah Tarbiyyah PAS gagal melaksanakan tugas mendakwah dan mentarbiyyah ahli parti. Hasbie  mengingatkan semua pemimpin PAS sebagai sebuah parti politik, kita memerlukan kedua-dua kualiti dan kuantiti pada ahli kita.

"Gesaan menghambat ahli PAS keluar parti berlawanan dengan matlamat kita berpolitik dan berdakwah iaitu untuk mencapai kemenangan di dalam pilihan raya demi mencapai reda Ilahi. Meruntuhkan apa yang dibina dengan bersusah-payah oleh pemimpin PAS terdahulu kerja yang salah. Oleh itu jangan diruntuhkan, kerana membinanya semula sudah tentu akan memakan masa.

Allahyarham pencetus idea baru dalam politik Islam di tanah air, meneroka tahalluf siyasi, membuka ruang ijtihad, menghantar PAS ke dunia politik baru yang sangat mencabar, membuka ruang luas untuk orang ramai, khususnya kalangan bukan Islam, mengenal Islam menerusi PAS dan seterusnya membina jambatan dengan kaum lain. Dengan itu PAS meruntuhkan prejudis kalangan bukan Islam terhadap PAS menyebabkan PAS sangat dihormati pelbagai kaum.

Ini sumbangan besar allahyarham kepada PAS, malah kepada dunia Islam seluruhnya. Hari ini kita mengingati kembali pemergiannya, namun pesan-pesan, pandangan dan gagasan politiknya masih segar dalam ingatan kita, malah menjadi panduan dalam gerak kerja PAS menjaga akhlak Islam dalam apa keadaan pun.

Akhirnya mari kita bersama mengingati pesan dan nasihat allahyarham yang sentiasa memancarkan kasih sayangnya kepada semua jamaah PAS tanpa mengira dari golongan manapun mereka datang. – 10 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments