Opinion

Iftar Ramadan rapatkan hubungan kaum

Di tengah-tengah teriakan perkauman dan prejudis agama yang sering terdengar sejak akhir-akhir ini, masih tetap ada pihak yang sangat sedar akan pentingnya keharmonian kaum dan agama.

Golongan yang sangat rasional ini yang dicetuskan melalui NGO diberi nama Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS) mengadakan majlis berbuka puasa yang penuh erti, terutama di bulan Ramadan ini untuk menghantar isyarat bahawa toleransi kaum dan agama masih boleh dibina dan diperkukuh di negara yang permai ini.

Kumpulan ini berkumpul buat kali kedua di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, menganjurkan majlis berbuka puasa baru-baru ini bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) untuk memahami Islam dan mencari nilai murni Islam sempena Ramadan.

Program NGO ini ialah kali kedua selepas program pertama memperingati kehilangan pesawat Malaysia Airlines baru-baru ini.

Di Majlis Berbuka Puasa Muhibbah itu turut dihadiri imam besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin; Datuk J Jegathesan mewakili komuniti Sai Baba; Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee; wakil dari Council of Churches Malaysia (CCM); Ven Saranankara dari Sentul Buddhist Maha Vihara; wakil Subang Jaya Buddhist Vihara, dan Hindu Sangam Council.

Naib Presiden Abim Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, penganjuran program berkenaan adalah atas permintaan anggota FGIS yang bukan beragama Islam untuk meraikan kemeriahan Ramadan yang disambut umat Islam seluruh dunia.

"Objektif program ini ialah meraikan permintaan dan permohonan rakan agama lain agar diadakan majlis untuk mereka melihat sendiri umat Islam mengerjakan ibadat puasa, dalam kemeriahan Ramadan.”

Katanya, Abim berkerjasama dengan masjid untuk memberikan peluang kepada mereka memahami Islam di mana dengan mengadakan majlis seumpama ini dikira sebagai kaedah terbaik kalangan bukan Islam melihat sendiri umat Islam berpuasa.

Kira-kira 60 ahli FGIS terdiri daripada penganut pelbagai agama menyertai program malam tadi yang turut dijadualkan akan menganjurkan program sama di rumah ibadat penganut agama lain.

"Selepas majlis ini NGO tersebut akan mengadakan program yang sama di gereja, kuil dan seumpamanya, kata Jega dalam ucapannya di majis berkenaan.

Wakil belia CCM Jacob Simon yang hadir dalam program itu berkata, acara sedemikian menunjukkan persefahaman antara satu sama lain.

"Walau apa pun berlaku, kami menyampaikan mesej keamanan dan keharmonian antara agama. Pelbagai program kami anjurkan bersama-sama sejak 11 tahun lalu," katanya.

FGIS ditubuhkan pada 2002 sebagai jaringan tidak formal antara badan agama utama di negara ini iaitu, Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh.

Pertubuhan itu dianggotai Abim, Buddhist Maha Vihara, Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM), Malaysia Hindu Sangam dan Majlis Gurdwaras Malaysia; dan dikoordinasi Majlis Pusat Sathya Sai Baba Malaysia.

Matlamat penubuhan FGIS ialah memupuk keharmonian antara agama dan menegakkan nilai manusiawi, iaitu dengan cara membantu golongan yang memerlukan dan menyumbang terhadap pembangunan negara.

Koordinator FGIS Prof Suresh Kumar dalam ucapannya berkata, pertubuhan itu akan menghasilkan modul nilai murni setiap agama di Malaysia bagi memupuk persefahaman antara kaum dan agama.

Program malam tadi turut menyaksikan anggota FGIS bersatu mengumpul dana bagi membantu penduduk Palestin. Sebanyak RM19,000 berjaya dikumpulkan daripada anggota FGIS bagi membantu penduduk Palestin yang diserang tentera Israel.

Program itu turut menjadi pengalaman pertama Thai Ming Yow, anggota Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (NUCC) yang turut hadir di majlis itu.

Sementara itu saya masih ingat sejak beberapa tahun lalu beberapa masjid di Selangor dan Kuala Lumpur serta beberapa bandar besar dan kecil yang lain mengundang sama rakan mereka yang bukan beragama Islam ke majlis hari raya yang diadakan oleh masjid.

Bahkan ada juga masjid, surau dan markas PAS mengundang sahabat handal bukan Islam di majlis berbuka puasa.

Kebiasaan ini nampaknya berterusan, menggambarkan masih tetap wujud di kalangan umat Islam dan bukan Islam yang berusaha membina keharmonian kaum dan agama.

Mereka ini tidak terjebak dengan jeritan perkauman dan fahaman agama yang sempit. Mereka adalah golongan yang sangat sedar akan kepentingan perpaduan kaum.

Mereka – Muslim dan bukan Muslim, sana ada jiran tetangga, rumah mereka berdekatan masjid, kawan sepejabat atau seperniagaan – sama-sama menikmamti hidangan di majlis berbuka puasa dan jamuan hari raya.

Di majis itu, Muslim dan bukan Muslim bertanya khabar antara satu sama lain mengenai profesion masing-masing, mengenai perniagaan dan keuarga masing-masing.

Di sinilah tergambar keharmonian kaum, yang dituntut oleh semua agama, malah Islam sendiri sebagai agama rahmah menjadikan keadilan dan hidup bersama cara damai ini sebagai pilar utama.

Suasana demikian sangat kontras dengan apa yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang menjeritkan isu perkauman dan pertentangan agama yang sangat tajam.

Golongan rasis ini dengan dilatari kepentingan peribadi dan puak mereka, konon demi untuk mempertahankan bangsa dan kesucian agama mereka, melihat pihak lain sebagai seteru mereka.

Sifat ini sama sekali tidak diajar oleh Islam, malah sikap permusuhan ini merosakkan nama baik Islam sebagai agama rahmat. Oleh itu majlis berbuka puasa dan majlis hari raya di antara kaum sangat wajar digalakkan.

Saya dan teman-teman banyak kali hadir di majlis seumpama ini di mana suasana di situ ternyata membina lebih mendalam kefahaman non-Muslim terhadap konsep ibadah dalam Islam. Malah mereka sangat menghormati sahabat mereka bukan saja ketika di majlis jamuan itu, bahkan di masa yang lain. Inilah nilai hubungan kemanusiaan yang tinggi.

Mudah-mudahan keharuman Ramadan dan Syawal akan mengharmoniskan lagi hubungan antara kaum dan agama di negara ini. – 22 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments