Opinion

Anwar: Potret seorang pejuang

Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, tetapi nampaknya legasi dan auranya berterusan dan terus segar.

Tokoh yang satu ini diperkatakan di mana-mana, masih signifikan untuk perjuangan politik menegakkan keadilan. Seolah-olah Anwar masih ada di tengah rakyat, mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat (PR), merasmikan program itu dan ini dan di malam hari, beliau bersama dan pimpinan PR berceramah di sana sini di seluruh negara.

Di kalangan golongan intelektual, malah Anwar masih tetap menjadi 'keluarga' mereka yang terpandang, fikirannya didengar dan dihargai. Ideanya tetap bernas dan terkini.

Semua ini masih dirasakan bukan saja penyokongnya, tetapi juga kebanyakan rakyat yang prihatin seluruh negara. Mereka ini bukanlah taksub kepada peribadi Anwar Ibrahim, tetapi mengagumi fikirannya yang bernas dan mempunyai kualiti kepimpinan yang jauh ke depan. Saya mengenal beliau sejak zaman Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada 1970-an dan sering berkunjung di pejabat Abim di Lembah Pantai.

Kemudian beberapa kali mengunjungi rumah sewanya di Subang Jaya, berdekatan Masjid Darul Ehsan, ketika itu Nurul Izzah baru berumur empat tahun. Secara kebetulan saya juga tinggal di Subang Jaya dan kami sering bertukar fikiran terutama selepas solat Subuh.

Ketokohan Anwar menyerlah bukan saja sebagai pemimpin politik, tetapi juga sebagai intelektual Islam terpandang. Saya tidak taksub kepada peribadinya, tetapi menyanjung perjuangannya.

Kesedarannya sebagai pemimpin pelajar di universiti, lalu menjadi presiden Abim, mendedahkannya kepada pemikiran gerakan Islam nusantara dan global lebih luas, melalui pelbagai buku yang dibacanya, malah berinteraksi dengan pemimpin gerakan Islam itu sendiri. Umpamanya beliau mengagumi Muhd Natsir, pemimpin Islam terkemuka di Indonesia, para tokoh Ikhwanul Muslimin di Timur Tengah.

Ketika menjadi presiden Abim sementara allahyarham Datuk Fadzil Noor menjadi timbalannya, serta tokoh Abim yang lain – Dr Siddiq Fadzil,  Dr Muhd Nur Manuty dan yang lain, maka Abim dan seterusnya PAS dilihat sebagai pencetus kesedaran baru kepada gerakan Islam di negara ini.

Hubungan Anwar dengan allahyarham Fadzil sangat rapat. Sebab itu, beberapa hari selepas Anwar dipenjarakan kerana kes Liwat 1 di hujung 1990-an, allahyarham segera menubuhkan NGO Gerak untuk membela dan meneruskan perjuangan Anwar menegakkan keadilan. Gerak mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan rakyat semua kaum dan agama.

Lalu tertubuh kemudiannya Barisan Alternatif yang menggabungkan PAS, PKR dan DAP. Gabungan itu kemudian bertukar kepada PR hingga kini.

Di sinilah Anwar mengambil peranan penting, dilihat sebagai tokoh yang berperanan dalam menyelesaikan masalah dalaman PR hingga beberapa hari sebelum beliau dijatuhkan hukuman penjara lima tahun 10 Februari lalu.

Saya membayangkan jika allahyarham Fadzil masih ada hayatnya,  betapa sedihnya ketika mendengar berita pemenjaraan Anwar itu. Inilah hari hitam bagi negara ini.

Anwar mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Ulama Sedunia, Alamah, Dr Yusuf Al-Qaradhawi, pemimpin gerakan Islam An-Nahdah, Rashad Ghanussi, Tunisia, bahkan dengan Presiden Turki Recep Tayeeb Erdogan dan ramai lagi.

Hubungannya tidak terbatas dalam lingkungan  gerakan Islam saja, bahkan juga ramai sahabatnya di kalangan tokoh ternama di Barat. Ini menyebabkan Anwar dikenali di peringkat antara bangsa.

Dengan pembacaan dan pendedahannya yang sangat luas, menyebabkan beliau menguasai bukan saja di bidang politik, tetapi juga di bidang gerakan Islam.

Tulisannya dalam bahasa Malaysia dan Inggeris sangat menarik, lenggok bahasa dan flow of ideasnya tersusun baik . Ini mencerminkan jalur pemikirannya berstruktur dan amat terkini.

Sejak demonstrasi di Baling, pertengahan 1970-han hingga kini, Anwar tetap Anwar yang menjadi ikon kepada anak muda. Idea dan konsistensinya kepada perjuangan menegakkan keadilan dan membela rakyat, menyebabkan beliau sentiasa berada di tengah rakyat.

Sebagai pemimpin pembangkang, memang biasalah berdepan dengan musuh yang ramai, ada yang suka, ada yang benci kepadanya atas pelbagai sebab. Tetapi semuanya itu sama sekali tidak mengurangkan kehebatan Anwar sebagai pemimpin politik dan intelektual terpandang.

Sesungguhnya pemenjaraan Anwar sama sekali tidak akan meruntuhkan PR. Di sini perlu diingat pilihan raya 2008 dan 2013, Anwar memimpin PR dan hasilnya PR berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN. Malah menang undi popular.

Sewajarnyalah diakui Anwar adalah simbol perjuangan reformasi dan harapan alternatif rakyat, seorang personaliti yang kuat. Maka itu semangat perjuangan dan kepimpinannya masih tetap utuh dan diperlukan di kalangan rakyat yang sedar akan makna keadilan dan kesaksamaan. Ramai yang berduka ketika mendengar keputusan mahkamah pada tengah hari 10 Februari lalu. Di lapangan depan Istana Keadilan itu, saya menyaksikan wajah yang kecewa, sedih, malah ada yang mengesat air mata, Demikianlah yang terjadi, maka terjadilah.

Saya yakin Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan keluarganya tetap sabar dan tabah. Keluarga ini tentunya berbangga kerana memiliki seorang tokoh seperti Anwar, yang mampu membayar dengan mahal harga perjuangan membela rakyat dan menegakkan keadilan.

Sama ada Anwar di luar atau di dalam, perjuangannya akan diteruskan. Kini Anwar meringkuk dalam penjara, namun semangat perjuangannya tidak mungkin dapat dipenjarakan. Ini kerana semangat itu sangat kuat, terus bertiup, menembusi betapa tebal pun tembok penjara.

Untuk itu saya teringat kata-kata pemimpin terkemuka India, Mahatma Ghandi:"You can detain me, you can torture me, you can even destroy this body, but you will never imprison my mind." – 17 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments