Opinion

Ahli politik perlu berjiwa besar

Anak isteri, kaum keluarga, sahabat handai dan rakan seperjuangan adalah nilai yang terlalu tinggi dalam kehidupan.

Jika seseorang ditimpa sakit, terjadi pelbagai musibah, tersungkur dalam politik dan perniagaan dan sebagainya, yang diduga dan tidak diduga, maka anak isteri, kaum keluarga, sahabat handai dan rakan seperjuangan memberikan kekuatan luar biasa kepada seseorang apabila mereka yang menghadapi masalah seperti ini.

Maka jika seseorang merasakan harta dan wang yang bertimbun di dalan bank atau di tempat lain adalah yang paling berharga, maka persepsi seperti itu perlu diperbetulkan kembali.

Ini supaya ia berfikir kembali kepada fitrah dan manusiawi.

Saya merenung kembali semuanya ini ketika berehat di rumah selepas keluar hospital setelah menjalani permbedahan usus selama 2 jam setengah minggu lalu di Pusat Perubatan Universiti Hospital (UH), Kuala Lumpur.

Kaum keluarga dan sahabat handai, termasuk para penulis – Dinsman, saudara Nasir, para tokoh PAS, Dr Rosli Yaakub, Suhaizan Kayat dan rombongan Pemudanya, serta beberapa pemimpin PAS Selangor dan Kelana Jaya serta yang lain – benar-benar memberi kekuatan semangat kepada saya, walaupun saya masih lemah.

Saya mendengar sesetengah perbualan politik mereka, memberikan maklumat terkini terutama mengenai politik Selangor yang sedang menggelegak sekarang ini.

Saya perhati kelemahan yang ada pada sesetengah tokoh politik kita ialah keengganan bertolak ansur antara pemain politik yang terlibat, dan ini adalah punca masalahnya – tidak berjiwa besar.

Matlamatnya ialah menang dan kalah sahaja. Jika pihaknya yang menang maka pihaknya yang dianggap benar dan mesti dipatuhi. Yang kalah akan hilang segala-galanya, khususnya kuasa.

Ini membenarkan kata-kata seorang intelektual Indonesia baru-baru ini bahawa “Politik itu ialah kepentingan-kepentingan.”

Mereka tidak seperti BJ Habibie, Presiden Indonesia yang ke-3 yang dijatuhkan oleh pemimpin politik di Dewan Rakyat Indonesia.

Iaitu, apabila Ucapan Penanggungjawasabnya di Dewan itu ditolak, lalu BJ Habibie meletakkan jawatan dengan tenang dan terhormat.

Beberapa hari kemudian, berlangsung satu rapat umum di Stadium Dwikora, Gelorang Bung Karno di Senayan, Jakarta.

Antara yang hadir ialah para tokoh politik yang menjatuhkan BJ Habibie. Dengan rasa jiwa besar, BJ Habibie datang juga dan duduk di tengah-tengah para tokoh politik yang menjatuhkannya.

BJ Habibie masih mampu tersenyum dan bersalaman dengan para musuh politiknya dengan wajah yang tenang, tidak tunduk, tidak merasa tidak selesa, mampu mengawal perasaan dan tetap berjiwa besar.

Esoknya semua media Indonesia, termasuk luar negeri, memuji BJ Habibie sebagai pemimpin berjiwa besar yang sangat menyerah.

BJ Habibie, kata majalah Tempo, walaupun kehilangan jawatan presiden, tetapi sebenarnya – dalam makna yang hakiki – tidak kehilangan apa-apa. Bahkan, katanya, BJ Habibie disanjung sebagai pemimpin nasional yang berjiwa besar.

Pada pendapat saya, jika semua pemimpin politik berjiwa besar, tidak meletakkan kepentingan politik masing-masing sebagai ‘raja’ untuk mengatasi segalanya, saya kira pergolakan politik, termasuk di Selangor dapat diselesaikan dengan baik.

Bagi PAS, yang politiknya berasaskan syariat Islam, walaupun ia parti politik moden, berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat, tetapi pada asasnya ia masih dipandu oleh Al-Quran dan Sunnah.

Maka itu ia mempunyai kemampuan meneruskan kelangsungannya kerana kekuatannya berasaskan dua faktor tersebut.

Sebab itu dalam krisis politik di Selangor ini, PAS sentiasa dipandu oleh pendekatan syarak dan tidak mungkin terpesong di samping menyesuaikan dengan suasana yang ada.

Kuasa hanya sementara dan berubah megikut masa dan keadaan. Maka rakyat, khususnya di Selangor, akan melihat apakah krisis di Selangor ini benar-benar melibatkan rakyat dan kepentingan rakyat.

Maka PAS yang diamanahkan berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat, saya kira, mempunyai peranan dalam menyelesaikan krisis ini demi kepentingan rakyat, menurut kaedah Islam.

Di sinilah pertimbangan syarak menjadi kayu ukur utama.

Syarak mahukan sesebuah pemerintahan itu mesti menegakkan keadilan untuk rakyat, amanah, tidak melakukan penyelewengan dan diskriminasi.

Oleh itu, penerintahan yang memiliki ciri-ciri demikian, sewajarnya disokong  untuk meneruskan khidmatnya kepada rakyat.

Ini coretan pandangan saya ketika berehat di rumah, ketika dikunjungi kaum keluarga dan sahabat handai serta rakan seperjuangan.

Sesungguhnya, penyelesaian di Selangor masih ada jalan keluar jika ada pemain politik berjiwa besar seperti BJ Habibie tadi serta tidak ada kepentingan politik tertentu ‘merajai’ atau di belakang pergolakan ini.

Terima kasih atas doa para sahabat. – 16 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments