Bahasa

Salah guna teknologi mampu cetus pergeseran kaum

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menjadikan media sosial platform penyebaran pelbagai bentuk fitnah yang kemudian menjadi viral. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2016.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menjadikan media sosial platform penyebaran pelbagai bentuk fitnah yang kemudian menjadi viral. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2016.Kemajuan serta kecanggihan teknologi termasuk kewujudan media sosial berupaya mencetuskan pergeseran kaum dan agama di negara ini jika disalah guna, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata lebih membimbangkan ada pihak tidak bertanggungjawab menjadikan media sosial sebagai platform penyebaran pelbagai bentuk fitnah yang kemudian menjadi viral.

"Maklumat palsu dan berunsur fitnah itu diterima bulat-bulat tanpa merujuk kepada sumber sahih dan kemudian menjadi viral sehingga menjejaskan keselamatan negara.

"Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat dan Kota Raya misalnya, ia berpunca daripada insiden mencuri telefon bimbit tetapi menjadi viral hingga melibatkan isu pergaduhan kaum," katanya berucap merasmikan Persidangan Pemantapan Citra Kenegaraan 4 (Cosna 4) 2016 di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malam, hari ini.

Persidangan bertemakan “Mencorak Masa Hadapan”, berlangsung mulai semalam sehingga esok yang diadakan dengan kerjasama Upsi, Majlis Profesor Negara dan Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kurup juga berkata pemimpin politik dan pemimpin perlu berhati-hati dalam menyampaikan sebarang ucapan termasuk mengelak daripada menyentuh sentimen perkauman.

Tambahnya ketaksuban terhadap bangsa dan agama juga perlu dielak kerana ia boleh mencetuskan kemarahan dan masalah perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Ketaksuban tersebut bukan sahaja bertentangan dengan usaha perdamaian malah bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak agama kumpulan etnik serta bahasa dan budaya sendiri," kata Kurup.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Upsi Prof Madya Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata Cosna 4 adalah berkait rapat dengan Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) di universiti-universiti tempatan ketika ini.

"Kita sememangnya menyedari MPU ini mempunyai fungsi yang besar untuk mencapai perpaduan dalam persekitaran pelbagai budaya di negara ini," katanya. – Bernama, 14 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments