Bahasa

Peguam tunggu arahan balu PI Bala untuk teruskan saman

Peguam Americk Sidhu belum dapat mempastikan sama ada balu Balasubramaniam, A Santamil Selvi mahu meneruskan saman berkaitan keluarganya hidup dalam buangan.– Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2016.	Peguam Americk Sidhu belum dapat mempastikan sama ada balu Balasubramaniam, A Santamil Selvi mahu meneruskan saman berkaitan keluarganya hidup dalam buangan.– Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2016. ​Peguam Americk Sidhu akan menulis kepada A Santamil Selvi, balu kepada saksi utama dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, sama ada mahu meneruskan saman ekoran kehidupan dalam buangan keluarganya selama 5 tahun.

"Biar saya dapatkan arahan daripadanya dulu. Saya perlu jelaskan dengannya. Saya tak dapat cakap apa-apa buat masa sekarang," kata Americk kepada The Malaysian Insider.

Sekarang ini tidak dapat dipastikan dengan jelas sama ada Americk mahukan pengesahan daripada Selvi jika beliau mahu mengekalkannya sebagai peguam atau menggugurkan kes itu yang difailkan pada Julai 2014.

Peguam itu membuat kenyataan tersebut sebagai respons kepada tuduhan Selvi terhadap dirinya yang dibaca dalam kenyataan sewaktu sidang media di Petaling Jaya pada Sabtu lalu.

Selvi mendakwa Americk, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen Kapar G Manivanan menjanjikan bantuan bagi membiayai pendidikan anak-anaknya dengan syarat beliau memberikan wawancara kepada petugas televisyen Australia berkenaan peranan suaminya dalam pembunuhan wanita Mongolia pada 2006.

Selvi sebelum ini menyalahkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail gagal membantu keluarganya selepas kematian suaminya P Balasubramaniam pada 2013. 

Beliau juga berkata bertemu Ramesh bagi mendapatkan bantuan sebanyak RM20,000 bagi membiayai pendidikan sebelum bersetuju mengadakan sidang akhbar itu.

Bagaimanapun, beliau mempertahankan perakuan bersumpah mendiang suaminya yang mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan itu.

Pada 18 Disember lalu, satu panel 3 orang hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Vernon Ong Lam Kiat memutuskan saman RM2 juta Selvi boleh difailkan atas kapasiti peribadinya.

Bagaimanapun, defendan saman itu, saudagar permaidani Deepak Jaikishan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi menukar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan satu perbicaraan diadakan bagi menentukan kesahihan tuntutan Selvi.

Mahkamah menetapkan 25 Mac sebagai tarikh pengurusan kes.

Selvi menyaman Deepak dan 7 orang lain berhubung peranan mereka sehingga menyebabkan keluarganya terpaksa hidup dalam buangan selama 5 tahun di India bermula dari 2008.

Balasubramaniam mati akibat serangan jantung pada Mac 2013 selepas kembali dari India.

Saman ini akan mendedahkan peranan individu yang dinamakan dalam saman itu dalam menyebabkan keluarga Selvi dihantar menjalani hidup dalam buangan di India, selepas mendiang suaminya membuat 2 perakuan bersumpah melibatkan Najib dan Altantuya.

Ia termasuklah sebab Balasubramaniam dipaksa menarik akuan bersumpah pertamanya yang menyebut tentang dakwaan penglibatan Najib dengan Altantuya, serta sebab keluarganya terpaksa meninggalkan negara.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohamed Hashim pada Disember 2014 membenarkan permohonan Najib, Rosmah, adik beradik Najib iaitu Datuk Johari dan Datuk Nazim, peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham, anaknya Sunil Abraham, pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat dan peguam M Arulampalam untuk mengenepikan saman balu itu.

Hasnah berkata Selvi tidak mempunyai kapasiti bagi memfailkan saman itu bagi pihak suaminya dan pengakuannya tidak berdasarkan undang-undang. – 14 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments