Bahasa

Papagomo bayar denda RM4,300 serang warga asing

Blogger Wan Mohd Asri Wan Deris atau Papagomo dijatuhkan hukuman denda RM4,300 atas 3 pertuduhan kerana menyerang warga asing pada Januari lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 11 Mac, 2016.Blogger Wan Mohd Asri Wan Deris atau Papagomo dijatuhkan hukuman denda RM4,300 atas 3 pertuduhan kerana menyerang warga asing pada Januari lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 11 Mac, 2016.Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM4,300 terhadap Wan Mohd Asri Wan Deris, lebih dikenali sebagai Papagomo, atas 3 pertuduhan kerana menyerang warga asing pada Januari lalu.

Majistret Husna Dzulkifly ketika membacakan keputusannya dan menjatuhkan hukuman berkata bagi pertuduhan pertama, blogger pro-Umno itu dikenakan denda RM1,000, pertuduhan kedua RM1,500 dan pertuduhan ketiga RM1,800.

Terdahulu hari ini, Papagomo mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 

Bagaimanapun, perbicaraan yang bermula pada jam 12 tengah hari itu ditangguhkan kerana hakim mahu melihat video perbuatan yang dilakukan Papagomo ke atas warga Pakistan itu sebelum menjatuhkan hukuman.

Di bawah seksyen tersebut, pesalah boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Peguam Papagomo, Azzizul Shariman Mat Yussof, dalam hujahnya meminta hakim melepaskan hukuman penjara dan hanya mengenakan denda ke atas anak guamnya.

"Kalau kita lihat, ia tidak mendatangkan kecederaan teruk dan dianggap kecederaan paling ringan, sebab itu pengadu ambil masa untuk buat laporan, iaitu pada 6 Mac. Kecederaan tidak serius.

"Orang kena tuduh (Papagomo) menanggung ayah dan ibunya yang mengidap kencing manis, menanggung adik di kolej universiti peringkat diploma, selain isteri yang tidak bekerja dan 4 anak," katanya di Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Sementara itu, Papagomo yang ditemui pemberita berkata hukuman yang diterimanya hari ini membuktikan dirinya tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.

Agak kesal dengan perbuatannya itu, dia mengakui sepatutnya menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa.

"Saya secara peribadi menyesal sedikit. Sepatutnya saya sebagai warganegara yang ada undang-undang tak patut ambil tindakan sendiri.

"Namun, dari sudut faktor abang kepada adik-adik, saya berasa bangga, sekurang-kurangnya adik saya tahu, saya seorang abang yang jaga maruah keluarga," katanya.

Pada masa sama, Papagomo turut menggesa polis mengesan majikan warga Pakistan tersebut kerana didakwanya melindungi pekerja asing tanpa permit sah.

Pada 29 Januari, Papagomo mencetuskan kontroversi apabila satu klip video tersebar di media sosial menunjukkan dia didakwa menyerang seorang pekerja asing.

Dia dilihat menampar, menumbuk dan menendang seorang pekerja warga Pakistan dalam video berdurasi 4 minit yang menjadi viral itu.

Papagomo mendakwa pekerja itu melakukan gangguan seksual terhadap 2 adik perempuannya bersama 2 rakan.

Papagomo berkata, mereka mengenal pasti pelaku tersebut dan mengambil tindakan sendiri selaku abang. – 11 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments