Bahasa

Dr Mahathir mampu bantu pembangkang raih undi Melayu, kata Rafizi

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli bercakap pada forum ‘Pembangkang dan Pasukan Mahathir, Berbaloikah untuk Rakyat?’ di Kuala Lumpur, malam tadi. Beliau berkata, kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mampu membuka mata pengundi atas pagar. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 14 Mac, 2016.Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli bercakap pada forum ‘Pembangkang dan Pasukan Mahathir, Berbaloikah untuk Rakyat?’ di Kuala Lumpur, malam tadi. Beliau berkata, kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mampu membuka mata pengundi atas pagar. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 14 Mac, 2016.Kerjasama antara pemimpin pembangkang dan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membolehkan Pakatan Harapan mendapat lebih banyak undi kaum Melayu, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata Deklarasi Rakyat yang menggabungkan seteru politik akan memberi manfaat kepada pembangkang kerana Dr Mahathir boleh "membuka mata" golongan atas pagar daripada kalangan pengundi Melayu.

"Deklarasi itu adalah sesuatu yang kita katakan sejak bertahun-tahun, ia merupakan skrip kita, beliau membaca skrip kita, jadi kita berpeluang menembusi 2-5% pengundi Melayu atas pagar," kata Rafizi dalam satu forum bertajuk “Pembangkang + Pasukan Mahathir – Berbaloikah untuk Rakyat?” di Kuala Lumpur malam tadi.

Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan kerjasama di antara pembangkang dan pasukan Dr Mahathir baru-baru ini yang menandatangani Deklarasi Rakyat dan melancarkan Gerakan Selamatkan Malaysia.

Beliau menyifatkan golongan atas pagar sebagai pengundi yang membesar dalam persekitaran “pro-establishment” atau tidak mempunyai maklumat mengenai isu-isu semasa.

"Ketibaan Dr Mahathir di pentas kita, dengan menggunakan skrip kita, akhirnya akan membuka jalan kepada kita kepada 2% hingga 5% pengundi atas pagar atau pengundi Umno yang boleh membawa kemenangan kepada kita," kata Rafizi.

Jumlah 2% hingga 5% tambahan pengundi Melayu ini boleh menambah 20 hingga 25 kerusi Parlimen, katanya.

Beliau berkata ini kerana pengundi bukan Melayu akan mengkaji semula sokongan mereka kepada pembangkang selepas beberapa penggal jika tiada sebarang perubahan.

"Sokongan penuh daripada pengundi bukan Melayu tidak kekal selama-lamanya, sebab itu kita perlu memberi tumpuan kepada 2% hingga 5% undi Melayu," katanya.

Anthony Loke daripada DAP juga bersetuju dengan kenyataan Rafizi, sambil menambah Dr Mahathir mempunyai kuasa mempengaruhi penyokong Barisan Nasional (BN).

"Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita perlu semua kuasa, termasuk Dr Mahathir, kerana kita perlu akui untuk memenangi PRU14, sokongan yang kita terima dalam PRU13 tidak mencukupi," katanya sambil menambah pembangkang memerlukan tambahan undi Melayu.

"Kita tidak boleh menafikan hakikat Dr Mahathir mempunyai pengaruh, beliau boleh mempengaruhi penyokong BN. Walaupun mungkin tidak lagi mempunyai pengaruh ke atas pemimpin-pemimpin Umno bahagian .... tetapi suaranya boleh mempengaruhi pengundi Melayu, yang mempunyai kebimbangan terhadap isu-isu perkauman, DAP dan lain-lain.

"Orang seperti Tun Dr Mahathir boleh meneutralkan rasa takut," kata Loke.

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa pula berkata walaupun ramai yang membenci perdana menteri ke-4 itu, terdapat ramai lagi masih suka kepadanya.

"Kita perlu berlaku adil, kita tidak boleh mengatakan beliau tidak mempunyai apa-apa pengaruh sama sekali," kata Husam. – 14 Mac, 2016. 

Auditorium dipenuhi orang ramai yang hadir mendengar forum ‘Pembangkang dan Pasukan Mahathir, Berbaloikah untuk Rakyat?’ di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 14 Mac, 2016.Auditorium dipenuhi orang ramai yang hadir mendengar forum ‘Pembangkang dan Pasukan Mahathir, Berbaloikah untuk Rakyat?’ di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 14 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments