Bahasa

Daftar Pati lebih baik daripada kenaikan levi, kata industri

Levi pekerja asing bagi sektor pembuatan dan pembinaan meningkat sehingga 2 kali ganda. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Februari, 2016.Levi pekerja asing bagi sektor pembuatan dan pembinaan meningkat sehingga 2 kali ganda. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Februari, 2016.Putrajaya disaran mendaftar pekerja asing tanpa izin (Pati) yang berada di dalam negara daripada menaikkan levi mereka, memandangkan ia akan memberi kesan kepada pengguna susulan peningkatan kos operasi, kata Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM).

Naib presiden MBAM Tan Sri A K Nathan berkata, sektor pembinaan akan mengalami kesan besar susulan kenaikan levi kepada RM2,500, berbanding RM1,250 sebelum ini, bagi setiap pekerja asing yang dibawa masuk ke dalam negara untuk sektor itu.

"Jika kerajaan nak tingkatkan pendapatan, daftar Pati," kata Nathan pada satu sidang media di pejabat MBAM di Kuala Lumpur, hari ini.

Dianggarkan, Putrajaya mampu mengutip sehingga RM2.6 bilion hasil melalui kenaikan kadar levi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan, bermula 1 Februari, levi pekerja asing bagi sektor pembuatan dan pembinaan meningkat sehingga 2 kali ganda.

Sektor perkhidmatan juga mengikut kadar levi yang baharu iaitu sebanyak RM1,850, manakala sektor perladangan dan pertanian pula perlu membayar RM1,500.

Bagaimanapun, penstrukturan semula itu tidak melibatkan levi pembantu rumah warga asing apabila kadarnya kekal pada tahap RM410.

Kadar baharu itu katanya, selari dengan pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.

Zahid berkata, penstrukturan semula dilakukan susulan 2.135 juta pekerja asing berdaftar memperoleh pelbagai manfaat sepanjang bekerja di negara ini termasuk subsidi makanan dan perkhidmatan lain.

Nathan berkata, perniagaan juga menyumbang kepada ekonomi dan kenaikan levi meninggalkan impak yang sama.

"Kenapa (naikkan) cukai dan menyukarkan syarikat? Ia akan menyukarkan ekonomi negara," katanya, kepada pemberita.

Kenaikan kadar levi itu juga katanya akan memberikan kesan kepada lebih 130 industri hiliran daripada sektor pembinaan.

"Kos tambahan itu akhirnya perlu ditanggung pengguna," katanya.

Sementara itu, bekas presiden MBAM, Kwan Foh Chai berkata kenaikan itu harus dihentikan kerana sektor pembinaan cukup terkesan dengan peningkatan yang berlaku susulan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menurut kenyataan bersama mereka, susulan pengenalan GST pada April tahun lalu, pekerja asing warga Indonesia menuntut kenaikan gaji sehingga 33%. – 3 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments